Monday, July 14, 2025

Konvensyen PBS-STAR: Bukti Perpaduan Bukan Angan-Angan

Konvensyen PBS-STAR yang berlangsung pada 12 Julai lalu bukan sekadar acara, tetapi detik bersejarah, momen yang membuktikan bahawa perpaduan antara dua parti tempatan yang sarat dengan perjuangan dan sejarah itu akhirnya menjadi kenyataan.

Untuk sampai ke titik ini bukan mudah. Seolah-olah kita meredah lautan api, mendaki bukit yang tidak bertapak. Penuh luka, salah faham, ego dan curiga. Tetapi demi Sabah tercinta, PBS dan STAR memilih untuk menundukkan kepentingan peribadi demi sebuah harapan bersama.

Kini, dua roh perjuangan rakyat Sabah ini bersatu di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama parti-parti tempatan lain yang juga meletakkan Sabah sebagai keutamaan.

Kita telah lakukan bahagian kita.

Sekarang, giliran rakyat Sabah pula untuk lakukan bahagian mereka.

Selama ini, rakyat Sabah terutama golongan orang asal, tidak pernah berhenti menyuarakan desakan:

"Bila kamu pemimpin mahu bersatu?"

"Bila kamu berhenti bergaduh sesama sendiri?"

Hari ini, kita sudah jawab seruan itu. Kita sudah bersatu.

Kini, jangan lagi kita dengar suara yang hanya pandai teriak, marah dan sinis di media sosial.

Tiba masanya suara itu diterjemah di peti undi.

Kalau kamu mahu GRS bertanding solo, pastikan kamu juga solo dalam pendirian dan undi.

Jangan pemimpin bersatu, tapi rakyat pula masih bercakaran.

Keputusan rakyat dalam PRN Sabah kali ini bukan sekadar pilihan politik.

Ia adalah penentu hala tuju generasi kita, dan generasi selepas kita.

Ingatlah, masa depan Sabah bukan ditentukan oleh segelintir pemimpin, bukan ditentukan oleh satu parti.

Ia terletak di tangan rakyat Sabah sendiri.

Pilihlah perpaduan.

Pilihlah masa depan.

Pilihlah Sabah.

Sunday, July 13, 2025

GRS Tanding Solo: Keberanian Politik Berasaskan Prinsip, Bukan Gimik Murahan


Kenyataan yang dibuat oleh Dr. Kanul Gindol baru-baru ini, yang mempertikai keupayaan dan kejujuran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam menyatakan hasrat bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17, adalah amat tidak berasas dan tersasar daripada realiti politik semasa.

Pertama, keputusan GRS untuk mempertimbangkan pendekatan bertanding secara bersendirian bukanlah satu gimik politik atau muslihat taktikal. Ia adalah manifestasi keberanian politik yang tulen, satu langkah untuk membebaskan suara rakyat Sabah daripada dominasi luar dan menyusun semula hala tuju negeri berdasarkan acuan sendiri. Dalam sebuah sistem demokrasi matang, setiap parti berhak menilai semula kerjasama politik sedia ada, khususnya apabila ia dilihat tidak lagi memberi nilai tambah kepada kestabilan mahupun pembangunan negeri.

Kedua, cubaan menyalahkan GRS secara keseluruhan atas segala kelemahan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan keadaan jalan raya adalah pendekatan tidak adil dan bersifat selektif. GRS mewarisi bebanan dasar dan kerosakan struktur yang telah berakar sejak berdekad lalu. Dalam tempoh mentadbir yang singkat, malah turut bergelut dengan impak pandemik COVID-19,  usaha pemulihan dan penstrukturan semula dasar pembangunan negeri sedang dilaksanakan dengan konsisten dan progresif.

Ketiga, tuduhan bahawa GRS menjadi “tempat perlindungan” kepada pemimpin yang hanya mahu kekal berkuasa adalah tidak berpijak pada fakta. Sebaliknya, GRS telah membuka ruang besar kepada pelapis muda, profesional dan tokoh akar umbi untuk tampil ke hadapan. Proses pembaharuan dalaman sedang berjalan, termasuklah pemilihan calon-calon yang lebih segar, berkredibiliti, dan berwibawa menjelang PRN akan datang.

Keempat, keraguan terhadap kemampuan PBS dan STAR mengurus kerusi secara berdikari jelas tidak mengambil kira kekuatan akar umbi kedua-dua parti ini, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ketegasan mereka dalam memperjuangkan suara rakyat Sabah tanpa tunduk pada tekanan pusat,  bukan kelemahan, tetapi cerminan kekuatan moral dan prinsip perjuangan yang konsisten.

Kelima, sebarang isu berhubung integriti individu dalam GRS wajar diserahkan kepada siasatan dan proses undang-undang. Memukul rata kredibiliti sebuah gabungan hanya berdasarkan tuduhan belum terbukti adalah tidak beretika dan mengelirukan rakyat.

Akhirnya, keputusan untuk bertanding solo bukan bermaksud menolak kerjasama politik secara total. Namun, sebarang bentuk kerjasama mesti dibina atas asas saling hormat, pengiktirafan kepada autonomi negeri dan keutamaan kepada agenda rakyat Sabah. Ini adalah intipati politik baru, keberanian untuk membuat keputusan yang tidak popular demi kebenaran dan masa depan negeri.

GRS tidak gentar untuk diuji. Medan PRN17 adalah ruang rakyat untuk membuat penilaian. Dan kami yakin, rakyat Sabah tahu membezakan antara retorik dan perjuangan yang jujur.

Walter Mark Mukis
Ketua Penerangan STAR Kota Belud
Timbalan Ketua Bahagian STAR N.9 Tempasuk

Konvensyen PBS-STAR: Bukti Perpaduan Bukan Angan-Angan

Konvensyen PBS-STAR yang berlangsung pada 12 Julai lalu bukan sekadar acara, tetapi detik bersejarah, momen yang membuktikan bahawa perpadua...