Wednesday, May 14, 2025

Tiada siapa berhak larang slogan “Sabah untuk Rakyat Sabah

Tawau, 15hb Mei 2025 ; Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) N.69 Sri Tanjong, Fung Len Fui dengan tegas menyatakan bahawa slogan “Sabah untuk Rakyat Sabah” adalah lambang identiti serta perjuangan hak rakyat Sabah, dan tiada sesiapa pun berhak melarang atau menafikannya.

Menurut Fung, slogan ini berakar umbi daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah terhadap autonomi negeri, pengagihan sumber yang adil serta pembangunan yang seimbang — sebahagian daripada semangat sebenar Persekutuan Malaysia.

“Kami bukan pemecah-belah negara. Sebaliknya, kami menuntut supaya Sabah dihormati sebagai rakan setaraf dalam Persekutuan. Slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ bukan provokasi, tetapi suara keadilan dan pengiktirafan.”

Beliau menegaskan, sekiranya slogan ini dianggap tidak sesuai atau berbahaya, maka slogan-slogan politik lain yang berteraskan kaum juga perlu dikaji semula dan dihentikan.

“Kalau ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ tidak boleh disebut, maka semua slogan yang berasaskan satu kaum juga patut dihentikan. Jika kita serius mahu perjuangkan ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia’, maka perlulah adil kepada semua.”

Fung turut mempersoalkan sama ada mereka yang menolak slogan ini sanggup juga meninggalkan semua pendekatan dan dasar yang berunsur perkauman.

“Jika tidak, ini jelas satu amalan ‘double standard’. Kamu boleh perjuangkan slogan kaum kamu, tetapi kami di Sabah ditegah memperjuangkan hak kami?”

Beliau turut membidas kenyataan seorang menteri Persekutuan yang mendakwa slogan ini berpotensi memecah-belahkan negara, menyifatkan ia sebagai tidak menghormati realiti dan sentimen rakyat Sabah yang sekian lama terpinggir.

“Sikap seperti ini tidak menyatukan rakyat, sebaliknya menghakis lagi kepercayaan antara negeri dan kerajaan Persekutuan.”

Fung menegaskan bahawa rakyat Sabah telah lama menunjukkan kesetiaan dan kerjasama dalam Persekutuan, namun jika tindak balas yang diterima hanyalah penindasan dan penafian, maka sudah tiba masanya rakyat menilai semula struktur serta keadilan hubungan Persekutuan.

Beliau menyeru semua parti politik dan pertubuhan masyarakat di Sabah untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu mempertahankan suara serta hak rakyat Sabah.

“Kita adalah rakyat Sabah dan juga rakyat Malaysia. Slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ dan ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia’ bukan bercanggah — ia saling melengkapi.”

Fung juga menegaskan bahawa STAR Sabah sentiasa menyokong hak rakyat menyuarakan pandangan dan akan terus mempertahankan ruang demokrasi itu. Beliau mengingatkan bahawa konsep ‘kesatuan’ dan ‘keharmonian’ tidak harus dijadikan alasan untuk memadamkan identiti serta pendirian rakyat Sabah.

Mana-mana parti yang tidak setuju dengan slogan ini, silakan bertanding sendiri — biar rakyat Sabah tetentukan 

Fung menyatakan bahawa mana-mana parti yang tidak bersetuju dengan slogan “Sabah untuk Rakyat Sabah” boleh bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya negeri akan datang dan menyerahkan keputusan kepada rakyat Sabah melalui undi.

“Kalau tak setuju, bertandinglah secara bebas. Rakyat Sabah akan buat keputusan.”

Akhir sekali, beliau menegaskan komitmen STAR Sabah untuk terus memperjuangkan hak Sabah, memperluas ruang autonomi dan pembangunan, serta memastikan setiap dasar parti mencerminkan keperluan serta harapan rakyat negeri ini.

“STAR akan terus berdiri teguh atas prinsip kedaulatan Sabah, pembangunan adil dan kuasa untuk rakyat. Kami akan terus bersama rakyat menolak sebarang bentuk tekanan atau penindasan.”

No comments:

Post a Comment

Konvensyen PBS-STAR: Bukti Perpaduan Bukan Angan-Angan

Konvensyen PBS-STAR yang berlangsung pada 12 Julai lalu bukan sekadar acara, tetapi detik bersejarah, momen yang membuktikan bahawa perpadua...