Konvensyen PBS-STAR yang berlangsung pada 12 Julai lalu bukan sekadar acara, tetapi detik bersejarah, momen yang membuktikan bahawa perpaduan antara dua parti tempatan yang sarat dengan perjuangan dan sejarah itu akhirnya menjadi kenyataan.
Untuk sampai ke titik ini bukan mudah. Seolah-olah kita meredah lautan api, mendaki bukit yang tidak bertapak. Penuh luka, salah faham, ego dan curiga. Tetapi demi Sabah tercinta, PBS dan STAR memilih untuk menundukkan kepentingan peribadi demi sebuah harapan bersama.
Kini, dua roh perjuangan rakyat Sabah ini bersatu di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama parti-parti tempatan lain yang juga meletakkan Sabah sebagai keutamaan.
Kita telah lakukan bahagian kita.
Sekarang, giliran rakyat Sabah pula untuk lakukan bahagian mereka.
Selama ini, rakyat Sabah terutama golongan orang asal, tidak pernah berhenti menyuarakan desakan:
"Bila kamu pemimpin mahu bersatu?"
"Bila kamu berhenti bergaduh sesama sendiri?"
Hari ini, kita sudah jawab seruan itu. Kita sudah bersatu.
Kini, jangan lagi kita dengar suara yang hanya pandai teriak, marah dan sinis di media sosial.
Tiba masanya suara itu diterjemah di peti undi.
Kalau kamu mahu GRS bertanding solo, pastikan kamu juga solo dalam pendirian dan undi.
Jangan pemimpin bersatu, tapi rakyat pula masih bercakaran.
Keputusan rakyat dalam PRN Sabah kali ini bukan sekadar pilihan politik.
Ia adalah penentu hala tuju generasi kita, dan generasi selepas kita.
Ingatlah, masa depan Sabah bukan ditentukan oleh segelintir pemimpin, bukan ditentukan oleh satu parti.
Ia terletak di tangan rakyat Sabah sendiri.
Pilihlah perpaduan.
Pilihlah masa depan.
Pilihlah Sabah.

No comments:
Post a Comment