SABAH UNTUK SABAHAN ADALAH TUNTUTAN BERPRINSIP.
Menuduh suara ini sebagai "memecah-belahkan" adalah satu percubaan menutup mulut rakyat Sabah.
Kota Kinabalu, 14 Mei 2025 : Pengarah Komunikasi Parti STAR, Datuk Jalumin Bayogoh menyokong kenyataan Presiden Parti STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang mempertahankan slogan 'Sabah untuk Sabahan' daripada disalah tafsir oleh sesetengah pemimpin adalah wajar..
Sebagai individu yang telah lama bersama Dr Jeffrey dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah telah menyaksikan sendiri bagaimana aspirasi “Sabah untuk Sabahan” bukan sekadar slogan politik, tetapi lahir daripada penderitaan panjang, ketidakadilan dan ketidakseimbangan kuasa dalam Persekutuan Malaysia.
Sabah Untuk Sabahan bukan Anti-Persekutuan tetapi lebih kepada aspirasi rakyat Sabah untuk dilayan sama rata dalam Persekutuan Malaysia.
Rakyat Sabah tidak menolak Persekutuan, tetapi kami menolak penindasan yang berselindung di sebalik balik janji perpaduan.
Apabila suara rakyat Sabah diketepikan, apabila hasil bumi disedut keluar tanpa pulangan adil, apabila struktur kuasa meminggirkan Sabah daripada arus kemajuan nasional – maka wajarlah kami bersuar
Pemimpin yang salah tafsir slogan Sabah untuk Sabahan harus belajar dan menerima realiti sejarah pembentukan Malaysia.
Sabah menyertai Malaysia sebagai rakan setara, bukan sebagai jajahan. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC telah dengan jelas menetapkan terma-terma tersebut. Malangnya, semangat ini telah dicabuli secara terang dan sistematik.
Saya ingin peringatkan bahawa perjuangan STAR adalah berlandaskan prinsip dan dokumen sah sejarah. Kami mahu pemulihan hak, bukan pemisahan.
Tetapi jika hak terus dinafikan, jangan salahkan rakyat Sabah jika mereka memilih jalan yang lebih berani demi masa depan generasi mereka.
Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan berhenti memandang Sabah sebagai wilayah pinggiran yang boleh dikawal sesuka hati. Hormati suara rakyat Sabah.
Hormati kepimpinan Sabah yang lahir daripada bumi ini sendiri. Dan hormatilah semangat MA63 yang menjadi asas negara ini.
Kepada rakyat Sabah, perjuangan ini bukan perjuangan seorang tokoh, tetapi perjuangan bersama.
Teruskan bersuara dengan berani. Suara kita bukan suara yang meminta-minta, tetapi suara yang menuntut hak yang telah lama tertangguh.
DATUK JALUMIN BAYOGOH
Pengarah Komunikasi,
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR)

No comments:
Post a Comment